Friday, April 22, 2011

Mega Jingga : Muka Satu

Dunia batu kaca. Ada juga yang menggelarnya Rimba Bata. Walau apa sahaja gelarannya, yang pasti kota metropolitan bernama Kuala Lumpur tetap teguh bermukim di situ.

Petang semakin menginjak ke penghujungnya. Sinar nirmala sang mentari sore semakin damai dan nyaman di rasa. Mega jingga semakin kelihatan di ufuk barat. Aneh. Aku amat menggemari suasana ini. Meladeni fikiran sambil merehatkan dan meleraikan segala kelelahan yang telah bermukim di segenap sendi. Tuntutan hidup di kota metropolitan. Kerja menjadi numero uno untuk memastikan kelangsungan mandiri di rimba bata ini. Segalanya bergerak teramat pantas. 24 jam anugerah ilahi terkadang terasa tidak mencukupi. Lumrah manusia. Sentiasa berasa tamak.

Seringkali terfikir untuk lari dari semua ini. Kembali ke desa nan permai dan menjalani kehidupan yang seadanya.  Tetapi aku tahankan dahulu. Teringat pesan arwah nenek yang begitu teringin melihat cucunya ada yang berjaya menjadi jurutera. Nenek dan aku memang sangat rapat dahulu. Mungkin kerana aku cucunya yang terbongsu, yang sangat rajin melayan kerenah nenek mengomel-ngomel. Mungkin.

Sekawan burung melintas di hadapan pandanganku. Kalaulah boleh menjadi burung, tentu seronok. Boleh terbang ke sana ke sini dengan bebas. Bebas memerhati bagaimana perjalanan kehidupan di muka bumi, menerusi lensa kacamata dari angkasa raya. Ah...Seronoknya...

Kedengaran sayup lagu 'Baby' dendangan penyanyi remaja popular Justin Bieber dari telefon bimbitku. Lagu ini pernah menjadi siulan remaja-remaja seantero Malaya beberapa waktu dahulu. Siapa pula yang membuat panggilan di saat-saat aku sedang menikmati 'prime time' ku ini. Nak kata bos aku mustahil. Bos aku baru je pergi oversea minggu lepas di Hawaii. Ada projek pembinaan menara 'Wakakawaian' di sana. Selaku jurutera struktur terkenal, khidmat bos aku memang amat ditagih dalam memastikan projek menara setinggi 200 tingkat itu menjadi realiti. Paling kurang dia hanya akan kembali ke Kuala Lumpur hujung bulan ni. Mustahil beliau.

Erm...perlukah aku mengambil telefon mobilku dan menerima panggilan itu?


No comments:

Post a Comment